APABILA BERITA MENERIMA KRITIKAN NETIZEN:
KEBENARAN DI SEBALIK KRITIKAN, KECELIKAN MEDIA MEMAIN PERANAN PENTING

Laporan wartawan sering menerima kritikan netizen terutamanya di media sosial.
Sumber: strath.ac.uk
​
​
Oleh Nurul Sabrina Johar
Kritikan demi kritikan sering dihadapi oleh wartawan dan media terutamanya apabila beberapa laporan berita bertentangan dengan pandangan netizen.
​
Netizen tergolong daripada masyarakat yang menerima perkembangan isu semasa menerusi laporan berita di media sosial dan laman portal berita.
​
Kini, kita sering melihat bahawa ramai dalam kalangan netizen mengkritik tajuk dan isi laporan berita yang tidak sesuai dan tepat untuk diterbitkan. Mereka berpandangan bahawa berita tersebut mengandungi unsur provokasi atau sindiran walaupun laporan tersebut sememangnya tepat dan benar.
​
Menurut laporan Forbes, media sosial telah menjadi sumber berita utama dalam talian dengan lebih daripada 2.4 bilion pengguna internet, hampir 64.5 peratus menerima berita terkini di platform tersebut dan media tradisional pula sudah kurang digunakan.

Kritikan netizen mengenai tajuk laporan wartawan pada ruangan komen di Twitter.
Sumber: Twitter
Kebanyakan mereka mengkritik menerusi ruangan komen di media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram di mana mudah untuk mereka meluahkan pendapat mereka tentang laporan berita tertentu.
​
Menurut Azmi Ahmad, 54, yang sering mendapatkan perkembangan isu semasa melalui akaun rasmi berita di media sosial berpendapat bahawa segelintir laporan yang dilaporkan wartawan adalah tidak beretika.
​
“Wartawan seperti tidak beretika dalam membuat laporan kerana penggunaan ayat yang tidak sesuai untuk sesuatu berita dan kadang kala fakta tidak tepat membuatkan netizen seperti saya, berasa perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
​
Tambahnya, pihak media pasti ada sebab untuk melaporkan berita sedemikian tetapi keutamaan sebenar adalah kandungan atau tajuk perlulah disukai dan boleh diterima oleh pembaca.
​
​
Kurang kecelikan media dalam kalangan pembaca
​
Menurut Penolong Editor The Malay Mail, Zurairi AR, kadang kala kritikan pembaca itu ada tepatnya kerana pihak penerbit juga membuat kesilapan yang tidak disangka dalam menerbitkan laporan berita.
​
“Tidak menafikan bahawa ada masanya kritikan pembaca memang tepat, misalnya kesalahan fakta, ejaan dan tatabahasa, ataupun bias yang tidak tersangka dari pihak penerbit,” katanya.
​
Namun, di sebalik kritikan pembaca, ada faktor mengapa isu mengenai berita tersebut disampaikan terutamanya melibatkan laporan berita yang sememangnya benar dan tepat.
Zurairi berpendapat bahawa perkara ini melibatkan kekurangan kecelikan media, atau media literacy di kalangan pembaca.
​
“Ada pembaca yang kurang peka atau faham konsep seperti pemilihan angle, penggunaan house style, atau membezakan artikel berita daripada pendapat,” kata beliau.
​
Oleh sebab itu, ramai netizen salah faham atau keliru dengan laporan berita yang mereka rasa tidak tepat dan sesuai untuk diterbitkan kerana kurang pengetahuan mengenai media.
​
Sudah dijangka bakal dikritik
​
Selalunya wartawan atau editor sudah menjangkakan bahawa laporan mereka bakal dikritik oleh netizen.
​
“Kebanyakannya, kami boleh menjangkakan jika sesuatu laporan akan mendapat kritikan, terutamanya jika ia menyentuh isu sensitif, seperti melibatkan isu-isu 3R iaitu race, religion, dan royalty atau dalam bahas Melayu, agama, kaum dan raja-raja,” katanya.
​
Beliau juga menceritakan pengalaman kritikan yang selalu beliau terima adalah berunsur kecaman di mana penulisan dan laporan beliau yang dianggap bersifat anti Islam atau anti Melayu.
​
“Saya menerima kritikan tersebut, sambil sedar bahawa situasi dan landskap media di Malaysia memang sebelum ini tidak pernah melaporkan isu-isu tersebut, terutamanya yang melibatkan institusi agama dengan lensa kritikal maka pembaca kurang faham akan kepentingan laporan-laporan seperti itu,” kata beliau.
​
Beliau juga menambah lagi, kadang kala ada laporan yang sudah diamati dan disunting sebaik-baiknya, namun masih mendapat kritikan jika diapi-apikan oleh pihak tertentu yang tidak setuju dengan laporan tersebut.
​
Penambahbaikan dan cara mengatasi kritikan
​
Penambahbaikan penting untuk dititikberatkan oleh sidang redaksi dalam mengelakkan salah faham dan kekeliruan netizen.
​
Zurairi berpendapat bahawa cara mengatasi kritikan daripada netizen adalah dengan memastikan sidang redaksi itu sendiri terdiri daripada pelbagai golongan.
​
Contohnya, ada golongan wanita yang berbagai-bagai kaum dan agama.
​
Ini adalah penting supaya ada pihak yang dapat menangkap kesalahan atau kepincangan tidak sengaja atau mungkin terlepas pandang apabila sidang redaksi kebanyakannya hanyalah editor lelaki
.
“Kami juga cuba memastikan laporan kami tidak akan menyebabkan atau menggalakkan kecederaan, ugutan fizikal atau bunuh kepada pihak-pihak di dalam laporan kami, seperti golongan rentan dan minoriti, agama, kaum dan lain-lain,” kata beliau.
​
Tambahannya, cara lain untuk mengatasinya ialah dengan memerlukan kekuatan mental, sokongan daripada kelompok sosial masing-masing dan yang paling penting ialah mengambil masa untuk berehat daripada media sosial dan mencari kebenaran dalam dunia wartawan.
​
Memastikan pembaca lain dapat dimaklumkan
​
Walaupun wartawan dan media sering dikritik oleh netizen mengenai laporan berita mereka, namun bagi mereka yang paling penting adalah untuk memastikan pembaca lain dapat dimaklumkan terutamanya untuk berita yang mempunyai kepentingan sejagat.
​
Zurairi berkata bahawa kayu ukur untuk mereka menerbitkan sesuatu laporan bukanlah hanya melalui reaksi pembaca, tetapi kebenaran di sebalik berita itu.
​
Bagi beliau setiap pembaca berhak untuk dimaklumkan segala kebenaran yang dilaporkan dan isu penting yang sedang berlaku di negara mahupun dunia.
​
Hubungan antara wartawan dan netizen boleh disebut sebagai nilai penting dalam industri kewartawanan mahupun media sosial, di mana wartawan harus mendengar suara netizen untuk penambahbaikan dan netizen juga harus mempunyai kecelikan media bagi menukar perspektif mereka terhadap media.