CABARAN DI SEBALIK DUNIA KEWARTAWANAN

Wartawan di seluruh dunia menghadapi cabaran dalam dunia kewartawanan seperti berhadapan dengan risiko jangkitan Covid 19, undang undang ketat dan ugutan bunuh.
Sumber : Thomson Foundation
​
​
Oleh Nurul Fazeela
Kerjaya sebagai wartawan mungkin kelihatan glamor dan berprestij. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cabaran dalam kerjaya ini sehingga memerlukan seseorang itu berusaha keras dan mengetepikan kemahuan diri serta membahayakan diri untuk mendapatkan sumber berita yang benar dan sahih.
Menjadi wartawan bukanlah kerjaya yang mengejar populariti tetapi banyak keperitan serta suka dan duka yang hanya diketahui oleh mereka yang berkecimpung dalam profesion dan kerjaya ini sahaja.
Pengalaman dihalau, dimarahi atau berhadapan dengan situasi genting seperti liputan di medan perang dan malapetaka di lokasi jenayah antara ribuan kisah duka wartawan yang jarang diketahui umum.
Menerusi laman sesawang Iluminasi, tidak dinafikan lagi bahawa kerjaya sebagai seorang wartawan adalah salah satu kerjaya yang berbahaya dan terdedah kepada anacaman.
​
Hal ini kerana, golongan wartawan merupakan barisan hadapan yang sanggup mengambil risiko semata mata untuk membuat liputan bagi menunjukkan gambaran sebenar kejadian yang berlaku kepada dunia.
​
Dunia sekarang melihat penciptaan penglibatan masyarakat yang tidak terkawal dalam paparan dan penyebaran maklumat, terutama di media sosial, dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat.
​
Berita palsu menjadi ancaman kepada wartawan

Harits Asyraf Adnan merupakan wartawan kanan Astro Awani.
Menurut wartawan kanan Astro Awani, Harits Asyraf Hasnan, salah satu cabaran utama di sebalik dunia kewartawanan di Malaysia ataupun dunia adalah penyebaran berita palsu. Ini kerana, ramai pengguna media baharu dan media sosial pada hari ini 'mengambil alih' tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batas masa.
​
“Pengguna media sosial juga ibarat wartawan, 24 jam berkarya selama tujuh hari seminggu dan ini dinamakan konsep citizen journalism atau kewartawanan masyarakat.
​
“Semak semula menjadi asas yang penting dalam bidang kewartawanan. Sama ada pembaca atau wartawan, setiap maklumat yang diterima atau dilaporkan haruslah di semak semula dengan mana mana organisasi media atau kenyataan individu tersebut untuk mengelakkan kesalahan fahaman yang akan timbul kelak,” katanya.
​
Menerusi Berita Harian Online, bukan Malaysia sahaja yang berhadapan dengan masalah keaslian berita dan maklumat melalui media sosial, tetapi juga dihadapi oleh Eropah, AS dan banyak negara di dunia.
​
Oleh itu, beberapa negara telah mengenakan undang undang siber yang agak ketat berkaitan penyebaran tipuan, berita palsu, dan penyebaran ucapan kebencian melalui aplikasi media sosial.
​
Misalnya di Jerman, hukuman akan dijatuhkan keatas pengendali media sosial yang menerbitkan dan tidak membuang berita palsu dalam masa 24 jam.
​
Pada pandemik Covid-19 ini, wartawan juga merupakan golongan barisan hadapan di mana pengamal media memainkan peranan penting dalam melaporkan berita yang tepat berhubung pandemik.
​
Sewaktu pandemik ini, pengamal media sebenarnya berhadapan dengan risiko yang tinggi dalam mendapatkan maklumat dan membuat liputan.
​
Tambah Harits Asyraf, wartawan perlu berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat dan melihat keadaan sebenar mengenai pesakit yang terkena dengan wabak berkenaan.
​
“Setiap media mementingkan tugas mereka. Sesetengah event memaksa media untuk ‘jolok’ akan menyukarkan wartawan membuat penjarakan fizikal.
​
“Kecuali dalam sidang media di mana wartawan boleh duduk dengan baik dalam penjarakan fizikal.
​
“Sebagai pengamal media, kami sedaya upaya melakukan penjarakan fizikal. Jika di lokasi tersebut memerlukan kami memakai personal protective equipment (PPE), kami akan memakainya demi menjaga keselamatan daripada terkena wabak penyakit tersebut”, tambahnya lagi.
​
Selain itu, menurut editor Astro Awani, Ashwad Ismail dalam sebuah sesi kolokium bertemakan 'Journalism in a Pandemic: Adapting and Evolving' berkata, pandemik Covid-19 memberikan impak bukan sahaja kepada dirinya sendiri malah rakan wartawan yang lain yang juga turut terkesan dengan situasi ini.
​
Dalam pandemik Covid-19, masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan berita dan maklumat yang diperolehi adalah sahih daripada media organisasi yang betul.
​
Jika kita lihat sehingga ke hari ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mencipta akaun parodi bagi menyampaikan berita palsu terutamanya di media sosial.
​
Contohnya seperti akaun parodi Twitter ‘Bermana’ yang mempunyai 24.6 ribu pengikut dan akaun Twitter palsu Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang menyeleweng ayat Al-Quran dan hadis. Kedua dua akaun ini hanya akan menimbulkan masalah bagi pemilik nama sebenar iaitu Bernama dan JAKIM.

Akaun Twitter @MyJAKIM viral ketika cuba menyamar sebagai akaun sebenar kepada JAKIM.
Sumber: Berita Harian Online
Oleh itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan bagi memudahkan urusan mereka sendiri dan tidak mudah percaya akan berita palsu yang disebarkan oleh pihak organisasi yang tidak bertanggungjawab.
​
Menurut Harits Asyraf lagi, mana-mana pihak media organisasi perlu melakukan suatu pendekatan yang lebih proaktif kepada para pembaca dan memenuhi kehendak pembaca dengan menggunakan platform media sosial sebagai satu pendekatan menyebarkan maklumat dan berita dengan pantas.
​
Katanya, pada masa kini masyarakat tidak lagi membeli surat khabar, malah mereka menggunakan alat teknologi seperti telefon bimbit, ipad, tablet dan komputer riba. Masyarakat lebih gemar mendapatkan berita di media platform atas talian kerana mudah untuk diakses dan dikongsi jika berita tersebut sahih dan benar.
Terikat dengan undang undang untuk bebas bersuara
​
Selain risiko berhadapan dengan berita palsu, wartawan juga perlu berhadapan dengan undang undang yang menghalang kebebasan bersuara untuk melaporkan berita dengan tepat.
​
Menerusi Malay Mail pihak polis telah memanggil ketua editor CodeBlue, sebuah laman berita kesihatan dalam talian, untuk mengadakan siasatan berkenaan 4 artikel yang diterbitkannya mengenai kebakaran yang berlaku pada Oktober 2016 di Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru dan membunuh 6 pesakit.
​
Portal berita itu mengatakan bahawa Boo Su-Lyn telah dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya untuk keterangannya pada pukul 2 petang, di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
​
Portal berita itu mempersoalkan siasatan polis dengan mengemukakan 4 laporan bersiri mengenai inkuiri bebas berhubung kes kebakaran Hospital Sultanah Aminah yang didapati berpunca daripada isu kecuaian dan salah tadbir.
​
“Siasatan polis ke atas artikel yang melaporkan mengenai jawatankuasa sisatan yang didedahkan itu mengalih perhatian daripada perkara membimbangkan yang digariskan dalam laporan berkenaan.
​
“Lebih utama, keadilan perlu diberikan kepada 6 mangsa dan mempertanggungjawabkan pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung,” kata Boo Su-Lyn.
​
Perkara sebegini kadang kala mempengaruhi kualiti dan kepentingan maklumat yang perlu dan patut disampaikan kepada masyarakat umum. Ini berlaku apabila kebebasan bersuara disekat ketat.
​
Akibatnya, laporan atau berita daripada media tidak membawa makna apa apa kepada perubahan kerana ia sekadar melaporkan berita sahaja.
​
Tetapi, dengan adanya hak kebebasan bersuara, para wartawan haruslah berwaspada dan banyak mengamalkan penapisan dari segi maklumat dan fakta agar ia tidak menyeleweng dan bias terhadap pihak tertentu.

Akaun Twitter Boo Su-Lyn yang mengatakan beliau disiasat di bawah
Kanun Keseksaan & Akta Rahsia Rasmi mengenai artikel beliau di IPD Putrajaya.
Sumber: Twitter
Ancaman bunuh terhadap wartawan
​
Menerusi artikel Astro Awani, menjadi seorang wartawan juga terdedah kepada situasi mengancam nyawa sehingga membawa kepada pembunuhan.
​
Seorang wartawan dilaporkan telah dibunuh kira kira sebulan selepas beliau mengadu dibelasah dan diancam oleh polis tempatan tidak jauh dari Cancun, sebuah lokasi tumpuan pelancongan di Tenggara Mexico.
​
"Ruben Pat, pengurus di Playa Newsweekly, telah ditembak mati pada pagi Selasa di kawasan Playa del Carmen," menurut kerajaan negeri Quitana Roo kepada media.

Ruben Pat yang juga pengasas laman sesawang Playa News ditembak mati di kawasan Playa del Carmen pada tahun 2018.
Sumber: REUTERS
Insiden pembunuhan yang membabitkan Ruben Pat ini menjadi suatu kebimbangan kerana ia menjadikan jumlah kematian golongan wartawan semakin meningkat di negara Mexico yang merupakan negara yang terkenal dengan serangan ganas terhadap pekerja media.
​
Menurut laporan tahunan RSF, 84 peratus pembunuhan tahun lepas adalah ‘sengaja disasarkan’ kerana tugas mereka sebagai wartawan, berbanding 63 peratus pada tahun 2019.
​
Ketua Pengarang RSF, Paluline Ades-Mevel berkata, sejak beberapa tahun lalu, pihaknya mendapati wartawan penyiasatan menjadi salah satu golongan sasaran kerajaan atau kartel jenayah,” jelas laporan itu.
​
Menjadi seorang wartawan bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah. Sesetengah daripada mereka mengalami tekanan perasaan, PTSD dan sehingga meragut nyawa sewaktu menjalankan tugas dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.
​
Walaupun dengan pelbagai cabaran, namun, secara keseluruhannya, pengamal media telah melakukan kerja yang cemerlang bagi mendapatkan liputan untuk disampaikan kepada para pembaca.
​
Semoga usaha menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan terkini mengenai isu semasa terus menjadi amalan bidang kewartawanan dan menjadi wadah utama berita di Malaysia.