top of page

SASTERA WARTAWAN MENERUSI ARUS PERDANA

hanispunya1.png
Contoh perkataan bahasa moden seperti viral yang digunakan dalam berita tempatan.
Sumber: Harian Metro

​

​

Oleh NurHanis Zariman

Jika dipetik nama tokoh seperti Datuk Seri A.Samad Said dan Datuk Usman Awang, pastinya ramai sedia maklum mengenai sumbangan beliau dalam memperkaya dan meninggikan Kesusasteraan Melayu serta kecenderungannya dalam bidang kewartawanan. 

​

Sehingga kini, bahasa Melayu masih lagi kukuh berdiri menjadi bahasa kebangsaan yang berperanan dalam menyatukan kaum dan bangsa rakyat Malaysia di samping menjadi bahasa pengantar, perundangan, ilmu dan komunikasi. 

​

Bahkan, penggunaan bahasa Melayu dimodenkan mengikut arus pemodenan dan sebilangan besar istilah perkataan telah ditambah oleh Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) bagi mengembangkan bahasa Melayu agar setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia. 

​

Umum mengetahui wartawan menyampaikan berita kepada pembaca menggunakan medium seperti media cetak dan media baharu. Jika ditelusuri, ramai anak muda lebih cenderung mendapatkan informasi di media sosial tanpa mempedulikan kualiti dan penggunaan bahasa dalam sesuatu medium. 

​

Dengan kewujudan media arus perdana, rakyat perlulah percaya dan yakin tentang penggunaan bahasa dan struktur ayat yang betul ketika mendapatkan informasi dan berita yang telah disampaikan kerana media akan menggunakan bahasa penghantar yang sudah diakui kesahihannya dalam menggunakan ayat dan bahasa yang betul serta tepat.

 

Ini termasuk dalam konteks ayat yang menggunakan percampuran ragam bahasa yang telah diluluskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pembendaharaan kata bahasa Melayu.  

​

Menurut Avram Noam Chomsky yang merupakan seorang ahli linguistik tersohor di dunia, apa yang dimaksudkan dengan media arus perdana adalah merujuk kepada konglomerat berita besar termasuk akhbar dan media penyiaran yang rasmi di sesebuah negara. 

​

Berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartananan, Hafizah Iszahanid berkata akhbar arus perdana perlu berpaksikan bahasa Melayu yang betul dalam penyampaian berita. Jika bahasa yang betul tidak digunakan maka berita itu tidak akan dimuatnaik atau disiar dalam media arus perdana.

hanispunya2.jpg
Hafiza Iszahanid merupakan seorang wartawan yang berpengalaman.

“Penggunaan bahasa yang betul atau bahasa tinggi memastikan ia kekal segar dan menjadi rujukan. Jika bahasa tersebut adalah bahasa rojak, bahasa tidak ketentuan dan caca merba maka ia akan cepat ditelan zaman,” ulasnya mengenai bahasa Melayu moden. 

​

Justeru, pembaca dinasihatkan agar membaca di medium yang menggunakan perkataan yang benar agar tiada salah erti istilah perkataan digunakan yang sering berada di media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.  

​

Malah, kepimpinan wartawan dalam menulis dan menyampaikan berita wajar mengikuti sastera penulisan pada zaman kini iaitu dengan membuat analisa berkaitan perkataan yang acap kali digunakan oleh generasi kini. 

 

Jika ditelusuri dari sudut ikhtisar yang positif, lazimnya wartawan yang terlibat dengan media arus perdana merupakan golongan yang berpengalaman, bertauliah dan berlesen serta menjaga etika dan mematuhi undang-undang dalam mendapatkan sumber maklumat yang betul. 

​

Tonggak utama wartawan dalam melaporkan berita yakni memartabatkan bahasa Melayu khususnya seperti permainan kosa kata, susunan ayat, peribahasa dan sebagainya dalam memberikan ilmu tambahan kepada orang ramai. 

​

Penghayatan pewarta dalam penyusunan ayat perlu dimantapkan dengan menanam sifat ingin tahu dan menjadikan amalan merujuk kamus DBP dalam mengetahui ejaan sebenar sesuatu perkataan sebelum menyampaikan berita tersebut. 

​

Tahap perkembangan bahasa Melayu moden diperluas sehingga kini mengikut generasi umumnya diolah dan ditafsir dengan menggunakan ayat yang mudah difahami serta istilah yang telah dinaiktarafkan agar selaras dengan perkembangan dan pemahaman terkini di samping permintaan dalam pasaran. 

​

Namun, pada zaman pascakemerdekaan ini, sebahagian besar telah mencipta jurang khususnya antara generasi lama dan baru dalam komunikasi sehingga menjadi komplikasi dalam kalangan masyarakat untuk menggunakan bahasa yang betul ataupun pengolahan ragam bahasa. 

​

Sementara itu, menurut Wartawan Kosmo Mohd Yunus Yakkub, 37, penggunaan ayat moden memberikan nilai tambah kepada sesuatu laporan dan mendidik masyarakat terutama di kalangan pelajar dalam istilah kata baharu yang boleh digunakan dalam tugasan atau peperiksaan mereka. 

 

“Dalam erti kata lain, penggunaan ayat boleh diringkaskan tetapi haruslah tepat dan benar dan tidak lari daripada maksudnya. 

​

“Namun semuanya terserah kepada pemahaman masyarakat sama ada untuk menggunakan atau membuat pengolahan tetapi maksudnya perlu tetap sama,” tambahnya. 

​

Dikatakan bahasa Melayu disifatkan terbuka dan mudah dipelajari kerana banyak nahu bahasanya daripada bahasa-bahasa lain di dunia ini, begitu juga penggunaan bahasa moden telah diadaptasikan dengan nahu bahasa yang betul. 

​

Sebagai contoh perkataan viral dan selfie yang kerap digunakan oleh wartawan di medium baharu iaitu di media sosial. Perkataan ini telah diterima oleh DBP kerana istilahnya selari dengan perkembangan teknologi maklumat serta ianya relevan untuk dijadikan istilah baharu dalam Kamus Dewan. 

​

“DBP juga sentiasa peka terhadap perkataan baharu moden dan diolah menjadi kosa kata yang lebih indah. Selfie menjadi swa (kendiri) dan foto (gambar) serta jerayawara (roadshow). Perkara ini sebenarnya menambahkan pengetahuan kita,” jelas Mohd Yunus Yakkub. 

 

Antara perkataan lain yang diterima dalam kamus dewan ialah hashtag dan tweet yang sering digunakan oleh pengguna media sosial. Perkataan ini ditambah kerana perkembangan teknologi dan supaya masyarakat dapat menggunakannya secara meluas. Maksud perkataan tersebut boleh dilihat di bawah ini.

WhatsApp Image 2021-02-18 at 1.21.18 AM.
Jadual 1: Perkataan bahasa moden dan maksudnya.

Perkataan tersebut boleh digunakan secara terus di media masa kerana maksud perkataan tersebut telah mendapat persetujuan daripada DBP.  

​

Sungguhpun bahasa Melayu dianggap mengalami kemerosotan akibat daripada pengurangan penggunaan dalam kehidupan seharian disamping kenduran dalam semangat cinta akan bahasa, namun jika perhatian penuh diberikan kepada penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan benar ia akan berada di kedudukan yang tinggi. 

​

Meletakkan dan menambahkan perkataan seperti di atas dalam penggunaan bahasa Melayu moden dan juga bahasa penghantar tidak akan menjejaskan ketulenan bahasa Melayu, tetapi ia akan lebih memperkasakan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. 

​

Media sebagai pintu hadapan dalam melaporkan berita perlulah menggunakan bahasa yang tinggi berbanding dengan bahasa yang tidak betul. Hal yang demikian kerana media merupakan medium yang dianggap perantara dalam komunikasi atau dalam perhubungan. 

​

Dalam memperkasakan identiti nasional selaras perlembagaan negara iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan bahasa Inggeris, masyarakat wajib mencintai bahasa kebangsaan sebagai jati diri dan menghormati bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan luar atau nilai tambah penguasaan sendiri. 

 

Seperti air di sungai, kadangkala ianya tenang sesekali deras persis bahasa yang mengalami pengubahsuaian mengikut peredaran zaman dan keadaan. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada wartawan malah masyarakat harus sinergi dalam memastikan bahasa Melayu diangkat tinggi oleh rakyat di seantero dunia.

bottom of page