top of page

'YELLOW JOURNALISM' MAMPU ANCAM KREDIBILITI JURNALIS

RIZAM (1).jpg
Gambaran watak kartunis yang dikatakan titik mula kepada idea 'yellow journalism'.

​

​

Oleh Rizam Reski

Dalam menongkah arus globalisasi teknologi dan maklumat, etika kewartawanan menjadi satu persoalan apabila sesetengah berita yang disampaikan pada waktu ini lebih mementingkan sensasi berbanding fakta.

 

Sehingga kini, orang ramai mempercayai bahawa semua berita yang mereka lihat ataupun baca adalah sama dari segi proses pembawaannya sehingga mereka tidak mempersoalkan bagaimana berita tersebut boleh diolah menjadi sebuah berita.  

​

Namun begitu, adakah berita tersebut diterbitkan untuk menyampaikan semua berita yang mereka perlu lihat? Atau sekadar untuk menarik perhatian masyarakat sahaja? 

​

Berita secara umumnya merupakan apa apa jenis maklumat baharu atau terkini yang diterima sama ada melalui media cetak, penyiaran, internet, mahupun penulisan untuk dikongsikan kepada orang ramai.  

​

Pada awalnya, penyampaian berita adalah dengan menggunakan penulisan akhbar dan penyiaran. Walaupun begitu, seiring dengan perkembangan teknologi moden, berita kini berada dihujung jari sahaja.  

​

Namun, dengan adanya semua maklumat pada hujung jari, sejauh manakah kesedaran rakyat mengenai ‘yellow journalism’ ataupun ‘kewartawanan kuning’? Mungkin hanya segelintir antara kita sahaja yang tahu mengenai perkara ini.  

​

‘Yellow journalism’ atau ‘kewartawanan kuning’ merupakan istilah yang digunakan untuk penulisan berita yang kurang atau tiada penyelidikan bagus.  

​

Sebaliknya, mereka hanya menggunakan tajuk yang catchy untuk menarik perhatian pembaca. ‘Yellow journalism’ ini bertujuan untuk menarik penjualan akhbar yang lebih banyak. 

​

Menurut Erwin Zaid wartawan RTM, beliau berpendapat bahawa ‘yellow journalism’ ini adalah kaedah penyampaian berita bersifat sensasi. Tajuk serta penulisannya yang digembar gemburkan bagi menarik perhatian pembaca, sekaligus meningkatkan potensi jualan. 

​

Walau bagaimanapun, beliau tidak seratus peratus menyalahkan sesebuah akhbar. Kebanyakan kesalahan fahaman yang berlaku pada masa kini disebabkan pembaca tidak membaca habis berita tersebut. Mereka selalunya akan membaca tajuk sahaja, terutamanya yang diterbitkan di media sosial. 

Daripada mana asal 'yellow journalism'

RIZAM%20(2)_edited.jpg
Antara tajuk utama sensasi yang mampu menarik perhatian masyarakat untuk membaca.
Sumber: Sinar Harian
RIZAM (3).jpg
Salah satu tajuk utama sensasi yang memberikan banyak tanda tanya kepada pembaca.
Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

“Penduduk Gempar, Mayat Hidup Balik” atau “Sedut Kepala Bayi” merupakan antara contoh tajuk utama ‘yellow journalism’ yang sensasi sehingga menarik perhatian pembaca untuk mengetahui isu dan perkara yang ingin disampaikan.

 

Namun, jika dibaca dengan sepintas lalu, mungkin majoriti daripada masyarakat tahu ianya bukan tajuk dan berita yang sahih, sebaliknya tajuk sensasi sebegini digunakan untuk menarik minat pembaca dengan meletakkan tarikan kepada tajuk berita untuk menjana pendapatan menerusi klik di internet. 

​

Menurut penulis blog Indonesia, Iwan Awaluddin Yusof, istilah ‘yellow journalism’ atau ‘kewartawanan kuning’ ini berasal daripada watak komik berwarna yang bertajuk Hogan’s Alley yang muncul di dalam akhbar Sunday World.  

​

Kartunis tersebut menggambarkan kehidupan penghuni di kawasan perumahan di New York dengan membawa sebuah watak seorang budak lelaki yang botak dan rongak. Ketika watak lucu tersebut disebarkan di akhbar, orang ramai mula memberinya gelaran The Yellow Kid.

 

Disebabkan komik tersebut mendapat sambutan yang hangat, akhbar tersebut menyediakan ruangan khas di akhbarnya lalu diberi label sebagai ‘yellow journalism’. 

​

‘Yellow journalism’ juga secara tidak langsung membantu ekonomi Amerika Syarikat yang merosot sekitar tahun 1893 hingga akhir abad ke-19. Hal ini turut memaksa pemilik akhbar di sana untuk mempertahankan label tersebut supaya dapat menyeimbangi persaingan ketat daripada majalah. 

​

Dalam satu artikel terbitan Berita Harian, akhbar itu menyatakan ‘yellow journalism’ merupakan antara akhbar yang mengutamakan sensasi dalam sesebuah cerita sebagai tarikan kepada pembaca.

RIZAM (4).jpg
Akhbar kewartawanan kuning yang mencetuskan peperangan antara Sepanyol dan Amerika Syarikat pada 25 April 1898.
Sumber: National Geographic

Hal ini menyebabkan ianya sebagai punca kepada tercetusnya peperangan di Cuba dan Filipina pada abad ke-19 apabila penerbit akhbar Willian Randolph Hearst dan Joseph Pulitzer menerbitkan artikel yang berbaur sensasi tetapi palsu yang mengakibatkan ia mengatur langkah Amerika Syarikat ke arah Perang Sepanyol-Amerika. 

​

Peperangan itu juga merupakan saat timbulnya era baharu dalam industri kewartawanan yang tidak bertanggungjawab dan lari daripada etika kewartawanan. Kejadian itu membawa kepada kepada pembangunan liputan berita asing yang berpengaruh di Amerika Syarikat.

​

  

Sensasi yang menjadi palsu 

​

Berita sensasi juga kadang kala boleh tergolong dalam berita yang kurang kesahihannya kerana ia lebih tertumpu kepada nilai sensasi berbanding tujuan menyampaikan fakta.  

Dewasa ini, ‘yellow journalism’ di Malaysia terlalu agresif sehingga menyebabkan berlakunya kesalahan fahaman dalam penyampaian berita tersebut.  

​

Walaupun tujuannya masih sama iaitu melariskan penulisan dalam jualan, namun tajuk utama yang diberikan terkadang tergantung dan berbeza dengan apa yang dilaporkan. 

RIZAM (5).jpg
Tajuk sensasi yang diterbitkan oleh akhbar tempatan boleh menimbulkan salah faham kepada pembaca.
Sumber: Sinar Harian

Menurut Nurul Izzah, pelajar jurusan kewartawanan UiTM Shah Alam, ‘yellow journalism’ mempunyai banyak kekurangan fakta di dalam sesebuah berita yang diterbitkan.  

​

“Walaupun ‘yellow journalism’ ini mempunyai kebaikan dan keburukan, ianya hanya meningkatkan jualan akhbar tersebut kerana orang ramai mudah terpedaya dengan tajuk utama berbanding ceritanya yang tidak diketahui kesahihannya,” katanya lagi.

 

Isu kewartawanan kuning sememangnya mampu menarik perhatian orang ramai untuk membacanya. Bagi Fatin Amira pula, yang juga merupakan pelajar jurusan kewartawanan UiTM Shah Alam, berita sensasi ini akan menyebabkan banyak berlakunya salah faham tentang sesebuah berita.  

​

Lebih lebih lagi jika berita tersebut mengenai orang yang dikenali ramai, pastinya banyak pihak yang mengambil untung dari situasi tersebut tanpa mengambil kira kesannya kepada pembaca. 

​

Melihat kepada pelaporan media terhadap isu dan berita sensasi berunsurkan ‘yellow journalism’, berita sebegini boleh terarah kepada penyampaian berita palsu. Rakyat Malaysia mudah dipengaruhi dengan tajuk tajuk sensasi yang menarik minat mereka.  

​

Jika apa yang disampaikan oleh penulis tersebut berbaur sensasi dan secara tidak langsung menarik minat pembaca, maka berita yang disampaikan menerusi penceritaan sensasi itu secara automatik akan mempunyai nilai komersial yang tinggi tetapi kadangkala disangkal faktanya. 

​

Menerusi Sarawak Voice, penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat umpama virus tanpa penawar. Ianya seperti tidak dapat dibendung sama sekali. Perkara ini dapat dilihat apabila teknologi moden yang digunakan secara berleluasa sehingga dianggap sebagai ‘raja’ dalam kalangan masyarakat kita. 

​

Berita palsu juga menjejaskan liputan media sebenar dalam era teknologi moden serta laman sosial sekarang, kehadirannya semakin bertalu-talu dalam menyaingi berita yang sah.  

Bukan itu sahaja, berita tersebut juga akan menyebabkan pihak yang diberitakan tersebut menjadi malu akibat kesalah fahaman tersebut. 

​

Kini, yang menjadi persoalan sehingga ke hari ini, apakah ‘yellow journalism’ ini masih relevan untuk digunakan dalam menyampaikan maklumat?  

​

Dalam mengejar perhatian pembaca untuk mendapat keuntungan, penyampaian berita mendahului sensasi berbanding fakta perlu lebih penelitian yang mendalam untuk meneruskan kaedah ini ataupun tidak. 

​

Jika lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, apakah penulisan sebegini tidak menjejaskan kesahihan berita yang asli? 

​

Jadi, sebagai penulis dan pembaca yang bertanggungjawab, kita tidak boleh mengambil ringan perkara ini. Hal ini kerana tidak semua orang mampu menghadam apa yang disampaikan oleh penulis dengan mudah. Penelitian yang teliti perlu memainkan peranan.

 

Golongan muda mungkin lebih faham mengenai ‘yellow journalism’ ini. Akan tetapi, bagi mereka yang berumur, mereka lebih gemar membaca berita yang sensasi kerana ia lebih menarik minat dan perhatian mereka dengan timbulnya perasaan ingin tahu yang mendalam selepas membaca tajuk sensasi yang digunakan dalam penerbitan.  

​

Perkara ini juga akan menggugat integriti dan kredibiliti kewartawanan apabila pembaca sudah tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh agensi berita kerana spekulasi dalam penyampaian berita yang mengelirukan pembaca.

bottom of page