top of page

TINTA PENULIS:

BAGAIMANA MAHU MENJADI PENULIS NOVEL?

GUEST WRITER

Mirei May
Penulis Novel

PhotoGrid_1606279313128.jpg
Jatuh Cinta Sekali Lagi merupakan salah satu novel hasil karya Mirei May yang mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan.  

​

​

 

Soalan 1. Bolehkah saya menulis novel? 

​

Kebiasaannya soalan ini ditanya oleh adik-adik yang masih lagi bersekolah. Lingkungan umur antara 11 hingga 17 tahun. Tapi jangan terkejut kalau saya katakan ada juga di kalangan adik-adik yang lebih muda daripada itu turut bertanya soalan serupa. 9 tahun setakat ni yang paling muda bertanyakan soalan tu pada saya. Bagus kan? Kecil-kecil lagi dah menunjukkan minat mahu bergelar novelis.

 

Sebenarnya untuk menulis novel, tiada had umur pun yang ditetapkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Asalkan karyanya matang, ada mesej yang mahu disampaikan, asli serta tidak plagiat karya novelis lain, Insya-Allah, karya anda akan diterima untuk dinilai.

 

Jadi, setiap kali ditanya soalan sebegini, saya akan terus cakap ‘Boleh’ saja dan nasihatkan adik-adik tu supaya banyakkan lagi membaca buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan yang mereka pilih dan berlatih menulis cerita yang matang dari segi penggunaan bahasanya, sebelum menghantar karya mereka. 

​

Kenapa kena baca buku terbitan syarikat berkenaan? Ini penting bagi bakal-bakal penulis. Setiap syarikat penerbitan, mereka ada format dan stail mereka sendiri. Penerbit Suara Hati Publication misalnya, lebih memilih karya bertemakan cinta. Karya Seni, Penulisan2U, Karnadya dan Dear Novels pula terima pelbagai jenis genre manuskrip. Jika anda minat menulis genre thriller, seram atau aksi, boleh cuba menghantar karya ke sana. Penting bagi kita, penulis baru, untuk mengetahui genre manuskrip yang diingini oleh sesebuah syarikat penerbitan supaya kita tidak hantar manuskrip semberono.

 

Selain itu, kita sebenarnya dapat membantu memudahkan pihak editor dalam membuat penilaian. Apabila kehendak syarikat penerbitan ini kita ikuti dari awal, kebarangkalian manuskrip kita lulus penilaian akan cerah juga. Jadi banyakkan membaca buku keluaran syarikat penerbitan yang kita pilih itu bagi memahami stail yang pihak penerbit mahukan.

 

Penulis yang bijak, mereka akan membuat banyak kajian bagi mengukuhkan lagi plot atau jalan cerita yang dibuat. Teruskan membaca, mengkaji dan menulis cerita yang logik serta boleh diterima oleh akal fikiran. Waima mahu menulis cerita fantasi sekalipun, tetaplah membuat kajian yang terperinci dan bukannya bersandarkan khayalan semata-mata.  

​

​

Soalan 2. Sedih. Kenapa karya saya ditolak? 

​

Siapa saja dalam dunia ini yang tak takut dengan penolakan, betul tak? Semua orang punya rasa itu. Bimbang. Rasa karyanya tak hebat selepas ditolak. Serba kekurangan. Paling teruk, pabila timbulnya rasa putus asa (ada juga sampai kemurungan) hingga sanggup melupakan cita-citanya begitu saja hanya kerana perkataan ini : DUKACITA DIMAKLUMKAN, KARYA ANDA BERTAJUK SEKIAN-SEKIAN, DITOLAK.

 

Bayangkan, setelah bertahun-tahun bersusah payah mengerah idea mencari ilham, kemudian menunggu berbulan-bulan pula karya itu dinilai dengan penuh harapan, tiba-tiba dikejutkan dengan e-mel sebegini.  

​

Ya. Anda berhak berasa sedih. Ia perasaan yang normal apabila mengetahui karya kita gagal menarik perhatian penerbit untuk dijadikan novel bercetak. Menangislah sepuas-puasnya untuk satu hari tu saja. Tapi selepas itu, pastikan anda bangkit semula dan latih diri untuk tidak berlama-lamaan melayan kesedihan.

 

Percayalah, penulis yang dah berpuluh-puluh buah bukunya terbit pun, tetap mempunyai perasaan yang sama setiap kali menunggu karya mereka dinilai. Mereka pernah juga merasai karya mereka ditolak berkali-kali oleh syarikat penerbitan. Ada tu, telah dijanjikan karya mereka akan diterbitkan. Namun atas sebab-sebab tertentu, projek itu dibatalkan pula oleh pihak penerbit pada saat-saat akhir. Sedih bukan? 

​

Sebab tu bila kita berniat mahu menjadi penulis, kita kena membuat persediaan yang benar-benar rapi dari segi kekuatan mental dan emosi. Sentiasa berfikiran selangkah dahulu ke depan. Jika perlu, buat nota motivasi diri. Seandainya karya aku ditolak, apa yang perlu aku lakukan selain meratap hiba dan berputus asa? Dan cubalah ikuti senarai tersebut seikhlas hati.

 

Sebagai umat Islam, kita wajib percaya pada qada’ dan qadar. Allah Maha Mengetahui segala-galanya dan Dia akan beri apa yang kita perlu, bukannya apa yang kita mahukan. Mungkin bagi kita syarikat penerbitan pertama yang kita pilih tu, adalah yang terbaik sekali untuk novel kita bertapak. Tapi Allah nak tunjuk, kita akan berjaya bersama, tak dengan syarikat penerbitan kedua, mungkin ketiga ataupun mungkin juga yang keempat. Kita tak tahu sebab pengetahuan kita terhad.

 

Makanya, berbaik sangka selalu dengan perancangan Allah. Rugilah menjerumuskan diri dalam kesedihan dan keputus asaan sedangkan peluang untuk berjaya itu sentiasa terbuka luas. 

​

Biasanya apabila sesuatu karya itu ditolak, pihak penerbit pasti akan senaraikan segala kelemahan yang ada dalam karya tersebut satu per satu. Kita boleh belajar daripada nota yang editor titipkan untuk perbaiki semula manuskrip kita. Lazimnya kesalahan ejaan yang banyak dan penggunaan tatabahasa yang tidak betul menyumbang kepada peratus tertinggi penolakan sesuatu manuskrip. Saya nasihatkan sebelum hantar karya anda untuk dinilai sekali lagi kepada penerbit lain, pastikan kesalahan itu diperbaiki terlebih dahulu dan jangan hantar manuskrip yang sama tanpa melakukan sebarang pembetulan.

 

Jika tak pasti dengan ejaan sesuatu perkataan, anda boleh semak di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sinilah medium utama kami, para penulis novel, menyemak semua ejaan manuskrip kami. 

​

​

Apa Yang Perlu Ada Dalam Novel? 

​

  1. Watak Perwatakan.

 

Penggerak utama pada jalan cerita. Sebelum mula menulis, senaraikan nama watak utama : hero dan heroin, watak-watak sampingan seperti keluarga hero, keluarga heroin, sahabat baik hero dan heroin juga saudara mara serta jiran tetangga, jika perlu. Jangan lupa, wujudkan juga watak antagonis yakni watak jahat untuk membuatkan cerita itu menjadi lebih menarik lagi.

 

Setelah selesai menamakan watak, pilih sekali nama panggilan yang pendek pada watak-watak yang kita ciptakan itu. Sebagai contoh : Sheikh Muzammil Farhan. Nama panggilan, Emil. Jadi sewaktu kita mengarang, kita tak perlu menulis Sheikh Muzammil Farhan berulang kali. Penat bukan nak tulis nama watak yang panjang di setiap baris ayat? Cukup tulis nama panggilan Emil saja, dah sempurna.  

​​

 2. Karakter hero dan heroin.

​​​

Setiap manusia mempunyai karakter yang berbeza-beza begitu juga dengan hero dan heroin novel anda. Jika seorang terlalu negatif sifatnya, maka buatlah karakter watak yang satu lagi tu menutupi kekurangan pasangan di sebalik kelembutan dan kebaikannya.

 

Dinasihatkan jangan buat kedua-dua watak bersifat negatif sampai ke akhir cerita. Pantang larang. Tak boleh. Perlu ada keseimbangan pada kedua-dua watak tersebut dan jika ada keinsafan yang berlaku, ceritakan juga dengan terperinci barulah pembaca tak merasakan karya anda tergantung dan mahu diselesaikan dengan cepat. 

​

 3. Lokasi.

​

Pembaca sekarang semakin bijak. Sambil membaca, mereka akan mencari maklumat di internet. Disebabkan itu, ramai penulis menggunakan nama lokasi yang betul-betul wujud di dunia nyata kerana mereka mahu membawa pembaca ‘jalan-jalan’ juga seperti mana hero dan heroin itu berjalan-jalan di dalam karyanya. 

​

 4. Bab. 

​

Sentiasa mulakan bab baru di muka surat baru. Tetapkan berapa banyak bab yang anda mahukan dalam cerita anda. Contohnya 60 bab dan untuk setiap bab, digalakkan menulis paling maksimum 10 muka surat sahaja. Kecuali bahagian prolog dan epilog. Seelok-eloknya 2 atau 3 muka surat, sudah memadai. 

​

​

Boleh Tak Saya Tulis Novel Tebal? 

​

Sekiranya anda banyak idea, boleh saja. Cumanya, dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang, ada sesetengah syarikat penerbitan menetapkan syarat maksimum 100,000 patah perkataan sahaja. Tak boleh lebih. Namun ada juga syarikat penerbitan sedia terima novel melebihi 100,000 patah perkataan. Kena tanya pihak penerbit dulu, mereka sudi tak terima novel melebihi bilangan perkataan yang ditetapkan. Bila mereka kata boleh, barulah hantar. Jika tidak, edit dulu karya anda dan cuba dapatkan syarat maksimum seperti yang penerbit mahukan.  

​

 

Apa Tema Yang Menjadi Kegemaran Pembaca Novel? 

​

Ada pembaca suka cerita-cerita klise. Contoh cerita klise: Kisah kahwin paksa. Hero benci pada heroin tapi selepas berkahwin, tiba-tiba hero jatuh cinta. Ada pembaca tak suka dah cerita-cerita begini. Ada pembaca suka cerita-cerita berat, berilmiah. Ada pembaca suka baca cerita yang santai, yang boleh buat mereka ketawa. Jadi, minat pembaca ni lain-lain.

​

Sebagai seorang penulis, saya nasihatkan, tulislah dari hati anda. Bila anda menulis kerana orang suruh atau nak kejar minat pembaca, percayalah kemanisan menulis tu akan hilang. Masa tu, writer’s block akan bermaharajalela. Anda akan stres. Tiba-tiba ketandusan idea untuk menyiapkan novel. Writer’s block ni boleh menyerang dalam jangka masa yang lama tau. Sayanglah kan?  

PhotoGrid_1606279348978.jpg
Salah satu karya yang ditulis oleh Mirei May.

​

Ini antara tip yang dapat saya kongsikan dengan anda semua. Akhir kalam, ingatlah. Pabila kita memilih untuk menjadi penulis, kita sebenarnya menggalas tanggungjawab yang amat berat. Apa jua yang kita tulis ini, semuanya akan dipersoalkan di akhirat kelak. Makanya, untuk mendapatkan kehidupan yang bahagia di sana, tulislah sesuatu yang baik dan memberi manfaat kepada dirimu juga pembaca-pembaca kesayanganmu.

 

Selamat berkarya bakal-bakal penulis. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

bottom of page