top of page

DUNIA PENULISAN TIDAK DAPAT DIPISAHKAN DALAM JIWA SEORANG WARTAWAN 

GUEST WRITER

Norlela Ibrahim

Mantan Wartawan Utusan Malaysia 1995-2002 & Penulis Buku 

GUEST WRITER NORLELA (1).jpeg
Norlela Ibrahim menunjukkan buku hasil
terbitan sulungnya, Kisah Bas Aunty Lela.

MINAT dalam bidang kewartawanan bermula ketika saya membaca novel Khadijah Hashim yang berjudul Bila dan Dimana. Novel ini mengisahkan kehidupan Mastura seorang wartawan yang bersemangat kental di dalam tiap tugasannya. 

 

Semenjak dari saat itulah, saya mengimpikan hasrat untuk menjadi seorang Wartawan. Saya mula mencari maklumat bagaimana caranya untuk menjadi wartawan. Di mana hendak belajar bagi mendapatkan ilmu kewartawanan.

​

Dulu-dulu sekitar era 80an bukan seperti sekarang, semuanya di hujung jari sahaja.

 

Maklumat diperolehi di perpustakaan sekolah melalui risalah dari Institut Teknologi Mara (ITM).  Di dalam risalah tersebut menyatakan Fakulti Sebaran Am ada menawarkan kursus Kewartawanan dengan syarat kemasukan adalah lulus di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). 

 

Sebaik tamat SPM, saya meneruskan pengajian di peringkat STPM bagi memastikan dapat menyambung pengajian di ITM dalam bidang Kewartawanan. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt, permohonan saya diterima dan saya akhirnya berjaya bergelar pelajar di Fakulti Kajian Sebaran Am dalam pengkhususan Kewartawanan. 

 

Pengajian selama 3 tahun, di semester kelima saya menjalani latihan amali di syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Sepanjang latihan amali tersebut, saya tidak dianggap seperti pelatih, tetapi saya dididik seolah-olah saya adalah wartawan dalam kerjaya yang sebenar. 

 

Pengalaman selama hampir 4 bulan di Utusan Melayu (M) Berhad amat-amat berharga dan saya turut menanam hasrat dan impian untuk kembali ke Utusan Melayu (M) Berhad sebagai Wartawan yang sebenar. 

 

Pada tarikh 2 Oktober 1995, saya diterima masuk sebagai Wartawan Kadet di Utusan Melayu (M) Berhad dan ditempatkan di Majalah MASSA. Setelah hampir setahun di majalah MASSA, saya ditukarkan ke Meja Am untuk akhbar Utusan Malaysia.  

​

Ketika di Meja Am inilah saya banyak belajar, menimba 1001 pengalaman sama ada yang pahit mahupun yang manis. Pelbagai ragam manusia, segala macam situasi, saya alami dan terokai setiap hari tatkala keluar membuat tugasan. 

 

Saya pernah ditugaskan membuat liputan tentang pergerakan Al Arqam (sebuah pertubuhan berlatarbelakangkan pejuangan agama Islam namun ianya telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 kerana dipercayai  membawa ajaran sesat kepada pengikutnya. 

 

Saya juga pernah menemuramah Tun Hasmah Ali, yang pada masa itu, Tun Mahathir menjadi Perdana Malaysia yang keempat. Pernah duduk semeja makan bersama Tun Hasmah di kediaman rasmi Perdana Menteri. Sebagai orang biasa mungkin mustahil, tapi saya dapat berbuat demikian kerana pada waktu itu saya adalah seorang wartawan. 

 

Adakalanya tugasan diterima sangat mudah. Tugasan makan-makan contohnya. Sempena Tahun Melawat Malaysia, banyak hotel-hotel di Kuala Lumpur mengadakan pelbagai promosi termasuklah promosi hidangan bufet yang diadakan di hotel tersebut.  Apabila pihak hotel memanggil wartawan untuk tugasan ini, apalagi kenyang perut suka hatilah nampak gayanya..inilah yang dinamakan assignment makan-makan oleh pengamal media. 

 

Perkara yang paling menyeronokkan bagi seorang wartawan adalah apabila berita atau cerita yang mereka tulis disiarkan di suratkhabar beserta dengan byline atau nama penulis pada berita yang ditulis itu.

 

Sewaktu diperingkat awal tahun pertama dan kedua, sedikit rasa teruja tiap kali berita disiarkan beserta dengan byline tersebut. Apatah lagi jika berita itu mejadi tajuk utama muka depan akhbar pada hari tersebut. Pernah berita yang saya tulis dijadikan berita utama, apalagi rakan-rakan sekerja mula mengusik “ada orang nak belanja hari ni, story frontpage” fuuuhhhh…memang itulah dianggap satu pencapaian tertinggi kepada para wartawan jika hasil tulisan mereka dimuatkan dimuka hadapan akhbar. 

 

Cerita apa yang saya tulis, hingga disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia tu? Selain daripada Meja Am, saya juga pernah ditempatkan di Meja Mahkamah dan membuat liputan atau tugasan di Mahkamah Sivil.  Dan tugasan Meja Mahkamah yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila adalah ketika cover keputusan kehakiman kes Highland Tower. 

 

Mahkamah bersidang dari pagi dan berakhir hingga jam 6 petang. Kes yang menjadi tumpuan semua pihak. Kemenangan berpihak kepada penduduk yang menyaman pemaju dan beberapa pihak lain. Buku kehakiman yang amat tebal, segala aspek bahasa perundangan di dalam bahasa Inggeris perlu saya olah dan tulis ke bentuk penulisan berita yang boleh difahami oleh para pembaca. Akhirnya berita itu disiarkan dimuka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada keesokan harinya. 

 

Itulah sebahagian momen-momen terindah tatkala saya bergelar seorang wartawan akhbar Utusan Malaysia. Semenmangnya Utusan Malaysia adalah nama besar ketika dulu. Namun tatkala menginjak ke usia 80 tahun penubuhannya, sejarah hitam tercatit. Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad ditutup dan menghentikan segala operasi syarikat pada Oktober 2019. 

 

Suka juga saya kongsi disini, mengapa saya amat berminat dengan kerjaya sebagai wartawan dan menanam cita-cita untuk menjadi wartawan walaupun pada awalnya, ibu saya mengkehendakkan saya menjadi guru. 

 

Saya membesar dengan akhbar Utusan Malaysia. Setiap pagi arwah pakcik saya akan membeli akhbar Utusan Malaysia. Saya pernah bertanya pada diri sendiri  “macam mana berita yang disiarkan di suratkhabar itu ditulis, siapa yang menulisnya. Mesti si penulis mengetahui berita atau cerita itu terlebih dahulu sebelum ianya disiarkan di surat khabar. 

 

Ketika membaca novel Bila dan Dimana itu, baru saya ketahui bahawa mereka yang menulis berita di suratkhabar dipanggil wartawan dan ianya adalah satu kerjaya yang murni kerana menjadi orang tengah kepada masyakarat dalam mendapatkan maklumat atau berita. 

 

Kini, saya telahpun menamatkan kerjaya ini. Namun minat dalam bidang penulisan masih menebal. Syukur setelah sekian lama, hasrat untuk melahirkan buku sendiri tercapai jua apabila terbitnya buku pertama saya KISAH BAS AUNTY LELA Catatan Memoir Pelajar-Pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor. Inshallah saya tetap menanam azam untuk melahirkan buku yang kedua, ketiga dan seterusnya. 

Ada sebahagian orang, kemahiran dan kepandaian menulis itu adalah satu anugerah. Bagaimana pula, bagi yang lain ianya perlu dipelajari, diamalkkan.

 

Sejujurnya ketika dibangku sekolah, saya amat meminati subjek Bahasa Melayu (BM) terutama sekali karangan. Malah guru yang mengajar subjek BM juga menyatakan skil atau cara penulisan saya amat baik dan boleh pergi jauh. Waahhh kembang kejap rasanya masa tu… 

 

Mungkin pujian sang guru itu, turut memberi pengaruh besar kepada saya pada ketika itu hinggalah saya benar-benar mencapai cita-cita bergelar wartawan dan penulis. 

​

Inginkan hasil penulisan yang baik, kita perlu banyak membaca. Tingkatkan pengetahuan, nahu bahasa, lenggok bahasa. Bagaimanapun tiap orang berbeza cara penulisan mereka. Itulah trademark atau style mereka. Cuma jangan guna ayat meleret dan mengarut. Nanti pembaca bosan. 

 

Bagaimanapun pada masa kini, ledakan media sosial terutama Facebook telah menjadi medan penulisan kepada sesiapa sahaja. Mereka bebas menulis dengan cara dan gaya mereka. Luahkan apa yang terbuku. Yang baik baik atau yang sebaliknya. 

 

Lantas kita sebagai pembaca, sebagai masyarakat harus celik. Jangan cepat menerima dan mempercayai segala berita terutamanya di media sosial. Baca dan fikir terlebih dahulu. 

 

Kepada mereka yang menanam impian untuk bergelar wartawan dan penulis, tulislah sesuatu yang mampu memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat dan ummah.

Antara hasil penulisan Norlela Ibrahim semasa beliau berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia. 

​

bottom of page