
WARTAWAN WARGA:
NILAI DAN CERNAAN SOSIAL
GUEST WRITER
Prof Datuk Dr Ismail Sualman
Pensyarah UiTM Shah Alam
​
Disunting oleh Nurul Balqis dan Haziq Abu Bakar
.png)
Prof Datuk Dr Ismail Sualman
Masa kini semua orang mampu menyampaikan berita. Kemunculan media sosial menjadi gelanggang untuk berkarya. Semua orang boleh mengaku sebagai "wartawan". Namun, sejauh mana mereka ini benar-benar wartawan terlatih? Sejauh mana pula kebenaran berita yang disampaikan?
​
Wartawan warga merupakan mereka yang menjalankan tugasan kewartawanan tanpa latihan kewartawanan yang formal. Ada yang mengkategorikan wartawan profesional sebagai wartawan warga apabila mereka menyumbangkan berita dalam halaman blog dan media sosial.
Memberikan definisi yang tepat mengenai kewartawanan warga adalah sukar kerana setiap organisasi media dan individu mempunyai pendapat mereka yang tersendiri mengenai siapa itu wartawan warga dan apa itu kewartawanan warga. Kewartawanan warga merupakan kata-kata yang mudah tetapi satu konsep yang kompleks.
​

Kewartawanan warga telah memperluaskan pengaruh di seluruh dunia walaupun terdapat kebimbangan yang berterusan mengenai sama ada wartawan warga boleh dipercayai seperti wartawan profesional terlatih.
Sumber: Crowdynews.com
Contohnya seperti kewartawanan masyarakat (community journalism) atau kewartawanan sivik yang kedua-duanya diamalkan oleh wartawan profesional. Collaborative journalism juga satu konsep yang berasingan dan diamalkan oleh wartawan profesional dan bukan profesional yang bekerjasama antara satu sama lain.
​
Begitu juga dengan kewartawanan penyertaan (participatory journalism) yang membolehkan penyertaan pengguna berita dalam proses membuat berita, tetapi proses ini masih dikawal oleh wartawan profesional dalam media arus perdana.
​
Kewartawanan warga juga tidak harus disamakan dengan accidental journalist iaitu mereka yang berada di satu-satu tempat kejadian dan merakamkan gambar dan video kejadian, dan kemudiannya rakaman dan gambar berkenaan dimuatnaik ke halaman Facebook dan media sosial yang lain.
​
Sebaliknya, wartawan warga adalah orang yang mengambil inisiatif sendiri untuk melaporkan dan mengulas mengenai isu-isu yang mereka bimbang dan untuk itu, mereka menggunakan alat-alat yang terdapat di Internet.
​
Wartawan warga berfungsi dalam beberapa bentuk iaitu mendapatkan informasi, menulis, mengedit dan menyiarkan berita dalam bentuk tulisan. Terdapat juga wartawan warga yang selesa untuk merakam, mengedit dan menyiarkan video sesuatu kejadian.
​
Wartawan warga hanya melaporkan apa yang berlaku dan dilarang untuk memberikan pendapat peribadi. Hasil tulisan wartawan warga juga adalah dari sumber yang sahih dan benar. Wartawan warga juga akan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak sebelum sesuatu artikel dihasilkan dan seterusnya hasil tulisan wartawan warga akan melalui proses suntingan sebelum disiarkan dalam halaman sesawang.
​
Proses inilah yang membezakan wartawan warga dengan penulis blog serta accidental journalist secara nyata. Kewartawanan warga atau citizen journalism merupakan satu gelaran baharu kepada pengamal kewartawanan daripada masyarakat kepada masyarakat.
​
Wartawan warga hanya berada di tempat kejadian atau tempat berlakunya berita ketika wartawan suratkhabar yang lain tiada di kawasan kejadian. Ia juga merujuk kepada seseorang yang mengutip maklumat daripada sesuatu kejadian dan membekalkan berita tersebut kepada media dalam talian atau suratkhabar, akan tetapi mereka tidak mempunyai gaji yang tetap.
​
Ganjaran yang mereka terima hanyalah berdasarkan berita yang mereka tulis dan berapa banyak berita yang mereka tulis. Malaysia mempunyai acuan kewartawanan warga yang tersendiri jika dibandingkan dengan negara barat ataupun negara-negara Asia yang lain.
​
Kewartawanan warga Malaysia atau CJ.MY merupakan halaman berita kewartawanan warga pertama yang wujud di Malaysia secara rasmi untuk membolehkan rakyat di negara ini berkongsi dan menyumbangkan informasi. CJ.MY wujud dari hasil usaha halaman portal Malaysiakini yang menyedari bahawa ada berita yang berpotensi di luar sana tidak disiarkan oleh media arus perdana.
​
Untuk membolehkan suara rakyat didengari oleh rakyat yang lain, Malaysiakini mengorak langkah untuk melahirkan wartawan warga yang dapat memberikan maklumat yang mereka gemari kepada masyarakat pembaca dengan mengadakan kursus kewartawanan warga.
​
Halaman CJ.MY tidak menerima berita-berita dari individu yang tidak menghadiri bengkel yang dianjurkan. Situasi ini adalah berbeza dengan negara lain seperti Korea Selatan yang terkenal dengan halaman sesawang OhmyNews yang menerima sumbangan dari pembacanya dari seluruh negara dan berita berkenaan disiarkan tanpa melalui proses penyuntingan.
​
Alasan mengapa hanya mereka yang terlatih sahaja yang diterima hasil penulisan mereka untuk disiarkan dalam CJ.MY adalah untuk mengelakkan pembaca di Malaysia menerima fakta-fakta yang tidak benar yang seterusnya boleh menjadi penyumbang kepada ancaman ketenteraman negara.
​

Teknologi media baru, seperti laman sosial dan laman web perkongsian media menjadikan kewartawanan warga lebih mudah diakses di seluruh dunia.
Sumber: Newsliteracymatter.com
Kewujudan wartawan warga ini turut memberikan masyarakat pilihan untuk membaca satu lagi medium berita yang berkualiti. Akses kepada maklumat yang berkualiti dan sahih daripada pelbagai media bagi setiap warganegara adalah penting. Kepelbagaian berita ini seterusnya boleh membawa perubahan dalam minda dan tingkah laku yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya netizen di negara ini.
​
Bagaimanapun, masa hadapan wartawan warga di negara ini sebenarnya banyak bergantung kepada kemajuan teknologi dan Internet di Malaysia. Wartawan warga dalam talian di Malaysia boleh berkembang dengan maju selagi kerajaan Malaysia masih mengamalkan demokrasi di alam maya. Walaupun demokrasi di alam maya ini dipraktikkan kerana kepentingan ekonomi, tetapi ia turut memberikan peluang untuk kewartawanan warga semakin berkembang di negara ini.