PRA-ACARA; KELAS ATAS TALIAN
MENUJU ALAM MAYA

Kelas atas talian kini merupakan alternatif tunggal untuk para pelajar meneruskan sesi pembelajaran semasa pandemik.
Sumber: Hajar Husna
​
​
Oleh Haziq Abu Bakar
Pembelajaran secara atas talian telah menjadi satu norma baharu akibat pandemik yang sedang melanda seluruh negara ketika ini. Banyak bandar di seluruh negara telah terjejas dengan teruk sekaligus telah melumpuhkan sektor sektor industri dan institusi yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian termasuklah institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti.
​
Menurut The Washington Post, dianggarkan 165 negara telah menutup sekolah sekolah yang menjejaskan 1.5 bilion para pelajar tidak dapat menghadiri pembelajaran di sekolah.
​
Perkara ini sudah pasti memberi impak kepada institusi pembelajaran di mana para pelajar di sekolah mahupun universiti terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara atas talian.
​
Para pelajar dan guru di universiti dan sekolah perlu membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran ini untuk memastikan institusi pendidikan terus berlangsung walaupun banyak cabaran dan kekangan yang mereka hadapi seperti kesusahan untuk mendapatkan akses internet dan komputer.
​
Namun di sebalik cabaran yang sedang dihadapi oleh institusi pendidikan, terdapat kelebihan yang boleh kita lihat dari sudut positif mengenai pembelajaran atas talian.
​
Sebagai contoh, satu laporan oleh Weforum, 40-60% masa lebih singkat diperlukan untuk sesi pembelajaran alam maya berbanding dengan pembelajaran di dalam kelas.
​
Pelajar dapat belajar dengan lebih cepat kerana mereka mempunyai peluang untuk membaca semula, baca dengan lebih pantas dan melangkau sekiranya mereka telah faham dengan bahan dan kaedah pembelajaran yang telah disediakan atas talian.
​
Perkara ini seterusnya menunjukkan impak positif yang besar dibawa oleh pembelajaran alam maya dalam institusi pendidikan.
​
Untuk memahami dengan mendalam dan menganalisis mengenai kepentingan dan impak yang dibawa oleh penggunaan digital dan perubahan teknologi terhadap pembelajaran, diskusi dan perbincangan perlu diadakan dengan lebih lanjut supaya para pelajar dapat lebih membiasakan diri dengan suasana baharu di era yang lebih mencabar ini.
​
Program seperti kolokium dapat memberi peluang kepada pelajar, pendidik dan golongan pakar untuk mengadakan perbincangan, melontarkan pandangan serta memberi tips dan kaedah yang baik untuk jalan penyelasaian bagi isu ini.
​
Kesempatan ini diambil oleh pelajar kewartawanan dari Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi MARA ( UiTM ) Shah Alam yang menganjurkan kolokium bertemakan ‘Journalism during Pandemic’ serta turut melibatkan institusi pengajian tinggi luar negara, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).
​
Kolokium kewartawanan kali ke-42 memecah tradisi lama apabila program yang dianjurkan pada kali ini dilaksanakan secara maya.
​
Kali ini, kolokium mengambil langkah baru dengan melaksanakan beberapa pra acara yang dimulai dengan sesi perkongsian mengenai cabaran pembelajaran secara maya yang disertai kira-kira 300 orang pada 9 Disember yang lalu.
Pra-acara ini turut disertai oleh pelajar daripada beberapa buah universiti di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
​
Program yang bertemakan ‘Adapting to the New Norms’ ini mengupas topik topik yang menarik berkenaan cabaran dan limitasi pelajar dalam meneruskan pembelajaran sewaktu suasana yang serba mencabar kini.
​
​
​
​
Pra-acara dalam sesi pertama dalam Kolokium Kritikaan Media ke-42, 'Adapting to the New Norm'.
Sumber: Twitter/Kolokium42
Wan Habibah merupakan seorang daripada penganjur program pra-acara.
Menurut Wan Habibah Zahari, yang merupakan seorang daripada penganjur program ‘Adapting to the New Norms’, “Program pertama yang dianjurkan oleh pihak kolokium ini merupakan titik permulaan dimana program akhir semester yang besar ini dilaksanakan di atas talian.
​
Seperti yang kita tahu, kolokium sebelum ini lebih kepada sesi perbincangan bersemuka dan kami berharap kolokium pada kali ini memberi langkah baru kepada corak pelanksanaannya ke alaf digital.
​
“Untuk program kali ini, kami agak teruja apabila program pertama secara atas talian ini mendapat sambutan sehingga ke tahap antarabangsa dimana wakil dari Universitas Pendidikan Indonesia turut memberi perkongsian untuk bersama-sama kita membincangkan isu-isu berkaitan media terutama sekali semasa pandemik sebegini,” katanya.
​
​
​
​
​
​
​
Dalam melaksanakan program pada kali ini, perkara ini merupakan sesuatu yang sangat mencabar kerana limitasi dalam bentuk internet, komunikasi jarak jauh dan komitmen yang merupakan halangan utama untuk ditempuhi oleh pelajar.
​
Azam dan semangat yang tinggi perlu ada dalam diri pelajar untuk membiasakan diri dengan teknik era baharu yang tertumpu kepada revolusi teknologi dalam mengalami transformasi ke arah digital.
​
Kita sedia maklum bahawa pelaksanaan pembelajaran atas talian telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan juga negara Cina kerana ia dipercayai mampu memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan.
​
Nureen Syakirah Sofhia, yang juga salah seorang wakil penganjur program telah berkongsi intipati mengenai barisan panel yang dijemput untuk sesi ini.
​
“Barisan panel yang dijemput ialah wakil dari UKM, UPI dan UiTM dimana wakil bagi ketiga-tiga institusi pengajian ini akan membincangkan perubahan landskap kewartawanan meskipun terdapat perbezaan idea, pembelajaran dan budaya”.
​
“Sesi kali ini merupakan sesuatu yang baru, pandemik yang berlaku pada kali ini memberi kesan yang besar kepada pelbagai sektor terutamanya kepada sektor pendidikan dan media itu sendiri. Perubahan itu pasti dan generasi kini harus bersedia dalam mempersiapkan diri menuju industri yang semakin mencabar,” tambahnya lagi.
​
Jika melihat perspektif dalam kalangan pelajar kewartawanan yang juga bakal pengamal media, kelas atas talian merupakan cabaran yang besar untuk mereka melakukan tugasan dari segi penyampaian berita dan kaedah baru untuk mendapatkan maklumat pada masa yang sama.
​
Ini kerana, keadaan pandemik menjadikan pelajar media lebih kritikal disebabkan mereka tidak boleh bersemuka untuk menyelesaikan tugasan mereka.
​
Tetapi, dalam nada yang berbeza, perubahan kaedah pembelajaran terkini memberikan ruang minda baharu kepada pelajar untuk lebih meneroka teknologi supaya latihan dan maklumat yang lebih berstruktur serta bersepadu menjadikan tugasan yang disiapkan oleh pelajar kekal relevan dan lebih dinamik.
​
Menurut Wisnu, pelajar Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), “Sudah pasti perubahan drastik yang dialami kini memberi kesan yang signifikan terhadap setiap individu. Akan tetapi, ini juga merupakan peluang dalam membentuk diri agar lebih berketrampilan dan kritis dalam mengadaptasikan diri di dalam dunia serba canggih kini”.



Wishnu ( kiri ), pelajar Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) berkongsi pendapat mengenai kesan pembelajaran atas talian semasa program 'Adapting in the New Norms’.
Sumber: Youtube/Sasaran
“Teknologi benar-benar memberi kesan kepada kehidupan harian bagi setiap individu. Internet juga telah menjadi sebahagian daripada diri kita dan ianya telah menjadi salah satu keperluan asas bagi generasi moden kini. Revolusi teknologi itu perlu untuk menuju negara dan masyarakat maju,” katanya.
​
Terdapat beberapa jenis medium pembelajaran atas talian yang berpotensi dan memudahkan pelajar untuk berhubung dalam menghadapi era digital ini seperti Microsoft Teams, Google Classroom, Class Dojo, Edmodo dan Blackboard.

Pelbagai platform pembelajaran atas talian yang boleh digunakan untuk pembelajaran atas talian.
Sumber: expectmiraculous.com
Kaedah hybrid pengajaran dan pembelajaran ini boleh disediakan melalui kaedah sistem pengurusan pembelajaran yang mengakses latihan dengan perkara-perkara yang berkait dengan gamifikasi dan koloborasi komuniti seperti Docebo, SAP Litmos dan Skillshare.
​
Apparatus dan metodologi baru ini dapat membantu meningkatkan kualiti proses pembelajaran atas talian dan ianya dapat memberikan pengetahuan serta maklumat baharu kepada pelajar untuk lebih sedia bagi menghadapi revolusi era digital dalam jangka masa yang panjang ini.
​
Penularan wabak COVID-19 ini memberi kesan kepada setiap individu, namun terdapat hikmah dan kemanisan yang dapat diperolehi disebalik dugaan ini. Kejayaan tidak akan datang dengan mudah dalam dunia yang sedang berevolusi menuju alaf digital baru.