IMPLIKASI HAK KEBEBASAN BERSUARA MELALUI PENGGUNAAN MEDIA
​
​
Oleh Hafeez Anuar
Kebebasan bersuara adalah termaktub dalam Perkara 10(1)(a) yang menyatakan dengan jelas bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk bersuara dan menyuarakan pendapat.
​
Menurut laporan Reporters Without Borders Malaysia, negara Malaysia berada di tangga ke-101 dalam kalangan 180 negara yang tersenarai dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2020. Malaysia merupakan salah satu negara yang berjaya mempertingkatkan kedudukannya dengan melonjak naik sehingga 22 anak tangga daripada tahun sebelumnya diikuti Maldives yang kini berada di tangga ke 79 berbanding tangga 98 pada tahun yang lepas.
​
Timbalan Eksekutif Editor R.AGE, Ian Yee berkata bidang kewartawanan memainkan peranan penting dalam mewakili suara daripada golongan minoriti untuk menyuarakan pendapat mereka.
​
“Setiap orang mempunyai hak untuk mengekpresikan diri mereka tanpa apa-apa halangan, terutamanya dalam bidang kewartawanan yang secara langsung berkhidmat untuk membuat laporan demi memberi pendedahan tentang isu minoriti”, katanya.
​
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Webinar Ayuh Belia! anjuran bersama NGOhub pada Jumaat lepas yang membincangkan tentang kebebasan bersuara di Malaysia.
​
Makna kebebasan bersuara di sini adalah masyarakat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan pandangan menerusi mana-mana medium tanpa ada sebarang halangan.
.jpg)
Dokumentari yang dihasilkan oleh R.AGE bertajuk 'Predator in My Phone'.
Sumber: R.AGE
Ian Yee turut berkongsi mengenai kempen pihak R.AGE menghasilkan satu dokumentari yang bertajuk “Predator in My Phone”. Dokumentari ini bertujuan untuk mendedahkan tentang isu kanak-kanak bawah umur yang menjadi mangsa seksual menerusi aplikasi media sosial. Golongan child groomer ini menggunakan media sosial sebagai modus operandi mereka untuk memerangkap mangsa.
​
Dokumentari ini akhirnya telah mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Oleh kerana itu, eksperimen ini merupakan sebab Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berjaya diluluskan di Parlimen.
Malaysia juga mempunyai undang-undang yang boleh dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan dalam kebebasan bersuara, contohnya kenyataan yang memburukkan institusi diraja, isu perkauman, mempertikaikan hak asasi dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
​
Dari sudut jenayah, seseorang itu boleh didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang menerusi Akta Hasutan. Begitu juga dengan kesalahan jenayah fitnah yang termasuk dalam elemen yang ditentukan di bawah Kanun Keseksaan dimana pesalah boleh dikenakan tindakan. Selain itu, jika seseorang melakukan kesalahan dalam media sosial seperti menyimpan dan menjual elemen lucah, seseorang itu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walau bagaimanapun, pada zaman teknologi yang sedang berkembang pesat di mana media sosial telah menjadi medium utama untuk mendapatkan sumber berita serta platform untuk menyuarakan pendapat dan kritikan, segala perbahasan yang diluahkan haruslah mempunyai etika dan tidak seharusnya berniat untuk mencetuskan kebencian, kemarahan, keganasan atau diskriminasi terhadap sesuatu golongan.
Media sosial kini menjadi platform yang sangat popular untuk dimanfaatkan khususnya dalam kalangan anak muda bagi mengekspresikan dan menyatakan apa sahaja pandangan mereka terhadap isu-isu di dalam mahupun luar negara.
​
Di zaman moden ini, semua orang berhak menyampaikan pandangan dan ia seperti satu kelebihan tetapi apabila kebebasan yang terlampau meluas, kita berdepan dengan risiko tertentu apabila mereka yang menikmati kebebasan tidak menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.
​
Ketika negara sedang dilanda wabak COVID-19, sidang media harian dan sesi soal jawab bersama wartawan diadakan untuk melaporkan situasi terkini negara namun penonton seolah-olah turut berada dalam sidang media walaupun menerusi media sosial.
​
Hal ini bukan sahaja menunjukkan ketelusan terhadap kebebasan media dan kebebasan bersuara kepada rakyat, malah dapat menonjolkan sikap profesional seseorang menteri atau jurucakap dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini, melalui media.
​
Namun sekiranya kita melihat dari sudut perspektif yang berbeza, kebebasan yang tiada kawalan menjadikan masyarakat terlalu berani dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati sensitiviti sesetengah pihak.
​
Contohnya pada baru-baru ini, pemilik akaun Facebook MGAG didakwa kerana telah memuat naik satu gambar Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memakai seluar dalam dan kain pelikat ketika membuat sidang media dari kediamannya.
Walaupun bagi mereka ini adalah satu gurauan semata, namun hal seperti ini telah menimbulkan kemarahan segilintir masyarakat kerana tidak menghormati usaha yang dilakukan oleh Dr. Noor Hisham dalam memerangi wabak ini.
​
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998, pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 ribu ringgit dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
.png)
Gambar yang dimuat naik mengaibkan DG Noor Hisham.
Sumber: Hype
Seksyen tersebut melibatkan kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, sekiranya didapati bersalah.
​
Kesimpulannya, adalah penting bagi masyarakat untuk diberi kebebasan dalam menyampaikan pendapat ataupun pandangan tanpa ada halangan dan gangguan tetapi mestilah dalam saluran yang betul.
​
Kebebasan yang diberikan ini membolehkan kita menyuarakan pandangan atau pendapat tetapi kita perlu sedar bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan mungkin mendatangkan sesuatu implikasi. Jadi, kita perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang kita laporkan di media sosial.
​
Penggunaan kebebasan bersuara tidak bermakna bahawa kita perlu menerima pandangan yang bercanggah dengan kepercayaan kita, namun pandangan mereka seharusnya dihormati termasuk apabila mereka membincangkan isu-isu seperti bangsa, agama dan identiti seseorang.
​
Perkara ini dapat merapatkan hubungan sosial, mendidik dan membimbing kita ke arah penerimaan sesuatu idea atau sudut pandangan asalkan ia tidak digunakan secara membuta tuli sehingga mencetuskan sentimen kaum dan agama serta menggugat keamanan dan kestabilan negara.