COVID-19 MEMBAWA MEDIA DAN KEWARTAWANAN KE ARAH EVOLUSI BARU
- Syazwan Mustafa, Ketua Editor Sasaran
- Feb 16, 2021
- 4 min read
Updated: Feb 24, 2021
Arus pemodenan serba canggih yang kita kecapi pada hari ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap gaya hidup masyarakat kini. Kebergantungan terhadap teknologi maklumat bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan harian seseorang individu, bahkan ia merangkumi pelbagai aspek serta sektor industri. Walaupun begitu, permintaan terhadap informasi dan teknologi maklumat akan terus berkembang seiring dengan pembangunan teknologi semasa.
Apabila menyebut mengenai industri media, sudah pasti ramai yang mengetahui akan cabaran yang dihadapi oleh agensi media tempatan pada masa kini. Sesetengah individu beranggapan bahawa industri media sudah semakin kurang relevan dek kerana aksesibiliti teknologi maklumat yang kini berada di hujung jari bagi setiap individu. Terasa hati ini apabila ada yang beranggapan bahawa industri komunikasi semakin pupus ditelan arus pemodenan.
Wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Februari 2020 telah memberikan impak yang besar kepada setiap industri di Malaysia. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada ketika itu bukan sahaja melumpuhkan pergerakan individu malahan ia turut memberi kesan yang drastik kepada pelbagai sektor industri di negara ini.
Industri perhotelan, pelancongan, pengangkutan awam dan perniagaan merupakan antara industri yang terkesan sejak bermulanya penularan wabak ini. Kapal terbang tidak terbang megah di udara, hotel di pusat peranginan ditutup, perniagaan menjadi semakin mencabar dan ini memberi kesan yang sangat ketara kepada sektor industri berkenaan.
Akan tetapi, sektor industri media masih berjalan rancak seperti biasa meskipun ketika penularan wabak pandemik ini. Berita disajikan kepada rakyat Malaysia tepat pada waktunya, program hiburan masih berjalan dan pengiklanan di kaca televisyen masih kekal seperti sedia kala. Jadi, adakah benar bahawa industri media semakin kurang relevan?
Penularan wabak COVID-19 ini bukan sahaja memberi impak yang besar kepada industri media dari aspek corak kerja, bahkan situasi yang berlaku kini juga telah memaksa proses penyuntingan atau lebih dikenali sebagai ‘editorial’ ke tahap yang lebih canggih dan efisien. Proses penyuntingan yang dahulunya hanya dilaksanakan di unit penerbitan media kini mampu dilaksanakan secara langsung dari rumah dengan adanya aplikasi dan teknologi yang serba canggih. Temubual secara bersemuka juga telah berevolusi ke arah maya dan perubahan kaedah pelaporan berita ini juga disambut baik oleh masyarakat.
Apabila kita melihat perkembangan teknologi maklumat pada hari ini, terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan oleh setiap individu untuk mendapatkan maklumat. Antara aplikasi yang popular generasi kini ialah Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan sebagainya. Pemodenan yang kita nikmati kini telah membuka ruang kepada setiap individu untuk memilih media yang ingin digunakan bagi memenuhi kehendak mereka.
Kesan daripada aksesibiliti ini secara tidak langsung bukan sahaja menjadikan masyarakat kita celik akan keadaan semasa bahkan ia turut memberi suara kepada mereka untuk mengajukan pandangan, buah fikiran dan keupayaan untuk berkongsi maklumat kepada khalayak umum. Di sini timbulnya persoalan, adakah setiap maklumat yang dikongsi di laman sosial pada hari ini adalah sahih dan boleh dianggap sebagai berita?
Masyarakat kini masih enak dibuai cerminan teknologi sehinggakan ada yang mempunyai wajah yang berbeza di antara dunia maya dan realiti. Tanpa sedar, kita hanya disogokkan dengan bayangan indah teknologi dalam bentuk ‘filter’, ‘like’, ‘share’ dan sebagainya. Kiasan ini hanya untuk menggambarkan betapa bahayanya teknologi yang wujud pada masa kini.

Bukan itu sahaja, khalayak juga telah dikenali sebagai ‘citizen journalism’ atau kewartawanan warga di mana mereka juga mempunyai akses untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Namun, adakah maklumat yang disampaikan ini turut disertakan bersama ‘filter’? Bolehkah kita mengorak langkah dengan bergantung kepada suara ini?
Sejak Februari tahun lepas, Malaysia telah mencatatkan angka kes penularan berita palsu yang tertinggi di dalam negara berbanding tahun 2019 bagi tempoh pandemik ini. Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat sebanyak 262 kertas siasatan berkenaan berita palsu mengenai COVID-19 telah dibuka setakat Mei tahun lalu.
Ramai pihak ingin menjadi individu pertama yang ‘memaklumkan’ masyarakat setempat akan informasi mengenai penularan wabak COVID-19. Maklumat yang diperolehi terus dikongsi di media sosial tanpa mengambil kira kesahihan maklumat tersebut. Kecanggihan teknologi masa kini telah membolehkan maklumat disebar secara meluas dalam masa yang singkat dan ini sedikit sebanyak menjadi cabaran yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan industri media.
Apabila terlalu banyak suara yang ingin memberi pandangan yang tersendiri, sudah pasti suasana pada ketika itu akan menjadi bingit dan tegang. Setiap individu akan menjadi semakin kreatif untuk mendapat pujian maya. Sensasi, konspirasi dan agenda akan menjadi elemen penting untuk mendapatkan sokongan dan minat khalayak umum meskipun bahan itu ditokok tambah.
Hakikatnya, meskipun media sosial menjadi tumpuan dan pilihan masyarakat, namun media arus perdana atas talian (online) seperti Bernama, The Star, The News Straits Times dan sebagainya masih menjadi pilihan utama untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan sumber rujukan yang boleh dipercayai. Ini adalah disebabkan media arus perdana masih kukuh berprinsipkan ‘Etika Kewartawanan’ (Codes of Ethics).

Oleh demikian, peranan pengamal media dalam sesebuah masyarakat tidak pernah padam meskipun dengan perubahan teknologi yang semakin canggih. Benar, industri media menghadapi cabaran pada masa kini tetapi tidak bererti bahawa industri ini menjadi kurang relevan. Bahkan, situasi ini menjadi pemangkin kepada evolusi media pada masa hadapan ke arah yang lebih interaktif, mudah dan berdaya saing.
Generasi pengamal media kini mengalami perubahan paradigma dari segi kemahiran, buah fikiran dan ilmu dalam menyajikan berita yang sahih dan menarik kepada khalayak umum. Industri media tidak akan pupus bahkan ia sedang berevolusi ke fasa yang lebih canggih dan ‘trendy’. Semakin mudah maklumat diperolehi bererti semakin penting peranan seseorang wartawan itu.
Comments